Sign In
portfolio web templates

Tingkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya

13/12/2021

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi meneruskan lagi acara Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2021 (WDR 2021) dengan mengadakan acara Forum secara maya dan diteruskan dengan penyampaian hadiah Tell Everyone Road Safety QR Hunt, hari ini.

Hadir bagi majlis penyampaian hadiah itu ialah Pengurus Logistik dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd. (BSP), Awang Alexirwan Omar.


Forum itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran akan kepentingan keselamatan di jalan raya di samping pesanan-pesanan yang berterusan kepada para pengguna jalan raya tentang kepentingan peraturan jalan raya, disiplin serta amalan-amalan terbaik semasa berada di jalan raya.

Hadir secara maya dalam majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar selaku setiausaha MKKJR.

Turut hadir ialah ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, pihak berkuasa, wakil-wakil dari Syarikat BSP Sdn Bhd, wakil-wakil dari institusi-institusi pengajian tinggi, agensi-agensi serta NGO termasuklah pengusaha-pengusaha sekolah memandu, ahli-ahli Persatuan Peniaga Automobil Brunei, Persatuan Insuran Takaful Brunei, Persatuan Penghantar Kargo Brunei, Persekutuan Perkhidmatan Pengangkutan dan juga pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Forum tersebut disertai oleh penceramah dari dalam dan luar negara yang terdiri dari wakil United Nations Economic and Social Commission for Asia and The Pacific (UNESCAP), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MiRos) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi membincangkan topik-topik yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya, khususnya yang berkaitan dengan tema WRD 2021 iaitu Act For Low Speeds/Act For Low Speed Streets.

Seterusnya, penceramah undangan khas dari Malaysia iaitu Pegawai Komunikasi dari (MiRoS), Salina binti Mustaffa, menyampaikan ceramah kah bertajuk Safer Cars for All yang mengetengahkan beberapa idea dari ASEAN NCAP yang telah dilancarkan pada 2013 mengenai dengan peningkatan piawaian-piawaian keselamatan kenderaan dirantau ASEAN dan juga dapatan-dapatan bagaimana meningkatkan keselamatan kenderaan turut dikongsikan.

Ahli panel forum seterusnya iaitu Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon, selaku ketua urusetia MKKJR telah menyampaikan taklimat yang antara lain menerangkan kepentingan keselamatan jalan raya melalui inisiatif-inisatif yang dirancang untuk dilaksanakan seperti yang terkandung di dalam Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025, mengongsi statistik kesalahan memandu melebihi had laju dan kemalangan jalan raya dari 2019-2021 serta perlaksanaan langkah-langkah dan cadangan penambahbaikan keselamatan jalan raya.

Sesi forum diakhiri dengan penceramah tempatan iaitu Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, UNISSA, Dr Hafini bin Mahmud, yang menyampaikan taklimat bertajuk Road Safety – Achieving the Maqasid of Sharia through the Example of Qur’an and Sunnah.

Beliau antara lain mengongsikan pandangan dari perspektif Islam dalam kepentingan mematuhi peraturan asas, arahan dan panduan bagi keselamatan jalan raya demi kesejahteraan sesama pengguna dan masyarakat awam.


Sumber berita Media Permata


Attachments